Kata Pak Samad

August 28th, 2008

Eyes of a Great Writer

Semalam terjumpa Pak Samad di MPH Mid Valley semasa hendak berjumpa kawan-kawan lama zaman sekolah dahulu. Saya bertanya padanya, “Apa buku menarik Pak Samad jumpa hari ini?”

“Banyak buku menarik, tetapi tidak cukup duit untuk menariknya!”

Buku Pilihan: Introducing Media Studies

August 27th, 2008

Secara purata, individu berumur 60 tahun telah mendengar, melihat atau membaca 50 juta iklan sepanjang hidupnya. Kita juga mendapat berita sepanjang waktu dari radio, televisyen, dan internet. Media memang berlegar sekitar hidup kita jadi apa kata kita cuba memahaminya?

Buku tulisan Ziauddin Sardar ini memberi pengenalan yang segar dan menarik tentang apa itu media. Illustrasi gila-gila Borin Van Loon pula melengkapkan buku ini untuk memberi gambaran yang lebih jelas lagi.

Beberapa fenomena media diterangkan dalam buku ini seperti:

  • Adakah cerita ganas menyebabkan kanak-kanak terpengaruh?
  • Bagaimana iklan menimbulkan keinginan untuk membeli?
  • Apa maksudnya iklan rokok yang tidak menunjukkan rokok?
  • Mengapa hujanan berita di media sukar mengubah pilihan dalam politik?

Harga buku ini adalah RM38.50 dan jumlah itu memang pelaburan yang berbaloi untuk memahami dunia serta realiti kita yang dibentuk media dan membentuk media.

Ulasan Sayap Adinila

August 25th, 2008

Kali ini, Anis Sarah pula menulis ulasan tentang Sayap Adinila. Sesungguhnya saya memang ingin tahu apa pendapat pembaca wanita tentang fiksyen sains Melayu. Terima kasih banyak-banyak atas maklumbalas!

Walaupun novel ini telah berada dalam rak buku saya sejak pertengahan Februari lalu, namun baru kini saya pembacaan saya selesai. Terima kasih pada penulisnya, sdr Firdaus Ariff kerana mengirimkan novel sulungnya ini dengan autograf.

Fiksyen sains ini membawa pembacanya ke sebuah dunia alternatif sekitar kurun ke-15 yang bertempat di sekitar Empayar Nilam. Kisah bermula dengan serangan Kerajaan Angkor ke atas Qadaha, salah satu wilayah di Empayar Nilam. Setelah menawan Gabenor wilayah itu, Empayar Nilam dipaksa memenuhi permintaan Kerajaan Angkor, iaitu ciptaan si genius Adinila yang disembunyikan selepas legenda pertempurannya dengan Von Noir seabad yang lalu. Perjalanan novel kemudian tertumpu pada usaha Pasukan Harimau Nilam mengesan jejak ciptaan Adinila, yang akhirnya ditemui di Kota Lama, sebelum menyelamatkan Engku Rahman yang menjadi tebusan Panglima Gaa Lee.

Menariknya novel ini, penggunaan teknologi kristal dalam dunia itu diterangkan dengan lebih terperinci, logik dan berkesan dalam penggunaan senjata, telekomunikasi, pengangkutan, perubatan dll [Entah kenapa, unsur-unsur kristal seringkali digunakan dalam fiksyen sains lain yang saya pernah baca]. Penerangan lain tentang dunia di sekitar Empayar Nilam, kerajaan dan sejarahnya menyediakan pembaca untuk siri novel seterusnya. Watak-watak utama menggerakkan cerita dengan baik, namun adakalanya masih kurang menyentuh emosi dalaman, hanya secara permukaan sahaja. Deskripsi babak-babak pertempuran menghiasi kisah seperti dalam komik pertarungan, dan tidak kurang juga kisah perasaan antara Tengku Arafiah dengan Lim yang disisipkan seketika di kala Empayar Nilam sedang rumit menghadapi ancaman musuhnya. Bahagian cerita sewaktu mereka mencari dan menemui ‘sepasang sayap’ ciptaan Adinila antara yang menarik saya untuk menekuni novel ini hingga ke akhir, walaupun tanpa illustrasi lakaran kapal udara yang menjadi inspirasi penulisnya.

Lebih penting lagi, fiksyen sains di dalamnya tidak terlalu kebaratan. Apatah lagi imbas anime Jepun selintas terkesan pada kehadiran watak Pusaran dan Baron (sesiapa yang sering mendekati anime Jepun pasti mudah meneka watak itu). Ada beberapa persoalan lain yang sengaja ditinggalkan penulisnya untuk dijawab dalam siri seterusnya, seperti siapakah pembunuh Raja See Khao, atau siapakah askar misteri yang ditemui Hamzah?

Sebagai pembaca, saya kira ini fiksyen sains Malaysia yang harus dimiliki. Kepada penulisnya, syabas dengan kehadiran novel sulung ini (harap saya tak terlewat). Dah tentu saya tak sabar ingin membaca sambungan siri ini. Mengingatkan saya pada Siri Saga Artakusiad karya Ahmad Patria Abdullah (ternanti-nanti karya terbaru beliau). Apapun, sedikit kesalahan ejaan di dalamnya sedikit menganggu bacaan saya yang suka menggaris perkataan. Pendapat saya, tak perlu lampiran tentang watak di hujung novel kerana lebih menarik jika diterangkan dalam bentuk penceritaan. Mungkin sekeping peta dan illustrasi kapal juga senjata dapat membantu menghayati Saga Empayar Kristal ini dengan lebih berkesan.

Lagi Tentang Running Gag

August 24th, 2008

1).Pada pendapat Tuan Profesor Kecil tema apakah yang sesuai digunakan untuk running gag?

2)Kelemahan penggunaan running gag darisegi dialog, pelakuan dan juga visual.Contoh animasi yang menunjukkan kelemahan penggunaan unsur running gag?

3) Ketika bilakah Running gag biasanya digunakan ?

4) Animasi apakah yang selalu menggunakan unsur running gag?

5) Adakah animasi tempatan banyak menggunakan unsur running gag? Contoh animasi tempatan yang menggunakan unsur running gag?

Soalan ini agak panjang dan saya pun tiada masa maka saya jawab satu soalan dahulu iaitu no. 4:

Antara animasi yang banyak menggunakan running gag adalah siri Full Metal Alchemist di mana watak-watak lain menyangkakan bahawa Alphonse Elric adalah alchemist yang terkenal itu. Edward Elric juga selalu diejek sebagai pendek sepanjang animasi tersebut.

Cetusan Rasa

August 22nd, 2008

Ramai orang yang berkata bahawa menulis perlukan mood tersendiri dan tidak boleh dipaksa-paksa. Bagi saya, untuk penulisan novel dan cerpen mood bukanlah faktor utama. Tetapi lain pula ceritanya dengan penulisan puisi dan lirik. Hanya beberapa kerat puisi dan lirik sahaja pernah saya hasilkan kerana memerlukan satu keadaan emosi yang melampaui kebiasaan. Bila keadaan itu berlaku, pusi dan lirik itu akan siap dalam masa beberapa minit sahaja. Selepas itu tunggulah entah berapa bulan atau tahun lagi sebelum menghasilkan lirik yang berikutnya.

Hari ini saya berkongsi lirik pertama yang saya hasilkan 3 tahun dahulu semasa masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM bertajuk Janji Setia. Bila difikirkan kembali, mungkin ini adalah antara perkara yang buatkan saya ‘melekat’ dengan kumpulan Madani walaupun saya seorang bukan pelajar SMKJ3.

Janji Setia

Telah terukir nan terpahat teguh
Janji setia bercita suci
Janji pada diri, keluarga dan Allah
Memulakan kembara dewasaku

Ku turuti nasihatmu ibu
Jua panduanmu oh ayah
Kan ku setia teguh janjiku
Demi mencapai cita teragung

Takkan ku berpaling dari cahaya
Walau sinar dunia mengaburi
Takkan ku endah onak duri
Jalan kebenaran tetap ku tempuhi

Sungguhpun sukar bagiku teguh
Kerna hawa nafsu mengaburi
Tetap ku setia tak mungkiri
Kerna janji itu bawa kebahagiaan

Kan ku pegang setia janjiku
Bersama harapan doa mereka
Bahagia dunia jua akhirat
Itulah matlamat mukmin sejati

Lirik: Muhammad Firdaus Ariff
Lagu: Sumieyami Salleh & Madani

Nota Kaki: Jika anda perlukan kumpulan nasyid untuk majlis berbuka puasa, sambutan hari raya, perkahwinan atau sebarang majlis yang bersesuaian sila hubungi saya di 013-2002705.